Monday, August 15, 2016

PROGRAM SEHARI SELEMBAR BENANG

Pada hari pertama pelaksanaan Program Sehari Selembar Benang, murid-murid diminta berada di tapak perhimpunan.  Buku Mini Mari Bina Ayat diedarkan kepada semua murid Tahun Dua hingga Tahun Enam.

Saya menerangkan sekali lagi mengenai apa yang perlu ditulis oleh murid-murid di dalam buku mini tersebut. Murid-murid agak teruja apabila saya maklumkan kepada mereka bahawa akan ada penilaian bagi memilih Buku Mini Mari Bina Ayat yang terbaik . Hadiah-hadiah akan diberikan kepada murid-murid yang dapat menulis ayat dengan baik di dalam buku tersebut.
Jam 7.30 pagi,

Saya dapati tidak semua murid hadir di tapak perhimpunan. Ada yang agak lewat tiba di sekolah. Pada waktu itu juga saya dapati keadaan di tapak perhimpunan agak sesak dan kurang sesuai bagi murid menulis.
Saya tetap membimbing murid-murid  menulis ayat yang betul berpandukan gambar dan kosakata yang diberi .

Saya meminta murid menulis sekurang-kurangnya satu helaian buku mini yang mengandungi empat gambar.Bermakna, murid-murid perlu menulis empat baris ayat.

Terdapat murid-murid yang cepat memahami dan mampu menulis dengan ayat yang gramatis. Walau bagaimana pun, masih ramai murid yang perlukan bimbingan untuk menulis ayat dengan betul. Apabila ramai murid meminta bantuan , keadaan menjadi agak kurang terkawal. Kekurangan guru yang berada di tapak perhimpunan untuk mengawal dan membantu murid-murid membina ayat menyebabkan terdapat murid dapat dibimbing dengan sewajarnya. Waktu itu cuma ada 3 orang guru sahaja di tapak perhimpunan yang terdiri daripada jawatankuasa panitia Bahasa Melayu. Memang dalam panitia Bahasa Melayu cuma ada tiga orang guru sahaja.

Jam 7.40 pagi,
Murid-murid masuk ke kelas masing-masing untuk menjalani pdp.

 Saya kira, saya perlu mengubah cara pelaksanaan program ini agar mampu berjalan dengan baik dan dapat memberikan impak seperti yang diharapkan.

No comments:

Post a Comment