Murid-murid Tahun Lima, sebelum ini, saya tidak pernah mengajar mereka. Semasa mula-mula mengajar BM Tahun Lima pada bulan Januari, saya dapati kebanyakan murid sangat lemah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Hanya seramai 6 orang murid sahaja yang saya lihat mampu menguasai kemahiran yang diajar dengan baik.
Selepas Peperiksaan Penggal Satu dulu, saya telah membuat analisis pencapaian. Daripada analisis tersebut, saya telah merangka plan intervensi bagi membantu murid-murid Tahun Lima yang lemah ini untuk memperbaiki pencapaian mereka.
Bagaimanapun, pelan intervensi tersebut tidak dapat saya laksanakan kerana perubahan jadual waktu mengajar. Saya tidak dapat mengajar murid-murid Tahun Lima kerana diminta mengajar ketuga-tiga kelas Tahun Enam. Saya hanya mengajar murid-murid Tahun Lima ini sehingga bulan Jun sahaja. Justeru, pelan intervensi tidak dapat saya laksanakan. Guru ganti yang mengajar Tahun Lima tidak menggunakan pelan intervensi untuk mengajar murid-murid Tahun Lima.
Selepas UPSR iaitu pada bulan Oktober, saya diminta sekali lagi mengajar semula Tahun Lima. Saya terima sebagai cabaran .Tidak sampai sebulan, murid-murid akan menduduki Peperiksaan akhir tahun pula.
Murid-murid masih lemah dalam semua bahagian Kertas Penulisan. Kemahiran menulis ulasan pun masih tonggang-langgang. Begitu juga dalam Kertas Pemahaman. Kebanyakan murid masih tidak menguasai kemahiran membina ayat secara meluas dan secara gramatis.
Justeru, saya telah melaksanakan Pelan Intervensi yang saya rangka sebelum ini. Walau pun saya tahu perancangan ini tidak dapat dijalankan sepenuh nya kerana hanya dapat dijalankan untuk jangka masa yang singkat, bererti saya hanya dapat melaksanakan sebahagian kecil sahaja pelan intervensi tersebut.