Saturday, September 2, 2017

Cuti Sekolah dan Kelas Tambahan

Hari ni ada kelas tambahan untuk murid-murid Tahun 6 di sekolah.
Jam 8.25 saya telah berada di sekolah. Tunggu murid-murid yang tak kunjung  tiba. Setelah menunggu hampir jam 9.00 pagi, baru lah muncul beberapa orang murid.  Akhirnya setelah menunggu dan menunggu , yang hadir cuma seramai 6 orang sahaja.

Terkilan juga, sebab saya sendiri sanggup luangkan masa hadir ke sekolah pada masa cuti  hanya semata-mata untuk menjalankan amanah yang telah diberi.Namun, apa nak dikata, nak salahkan murid? Memang tak patut juga. Kesian mereka.

Hari ini memang masih lagi dalam waktu cuti sekolah.  Kadang-kadang saya terfikir juga, kesian murid-murid ni, cuti sekolah pun kena datang ke sekolah. Bila masa mereka hendak merehatkan fizikal dan mental mereka kalau hari-hari perlu datang ke sekolah? Hari biasa  ada kelas dari pagi sampai petang. Kadang-kadang berlanjutan hingga ke malam.

Bila waktu cuti penggal , tentu nya mereka ingin turut bercuti bagi merehatkan fizikal dan mental mereka. Namun, hal yang sebaliknya berlaku.  Mereka didesak untuk belajar, belajar dan belajar. Bagi saya, ini bukan cara belajar yang bijaksana.  Badan dan otak murid yang berusia 12 tahun ini akan terbeban. Bila otak penat, mampu kah mereka menerima sepenuhnya apa yang diajar oleh guru?




Wednesday, August 2, 2017

Lakonan Dalam PDPC

 Hari ini saya menjalankan pdpc di kelas Tahun Lima Barathy.
Kemahiran yang diajar ialah menulis permintaan dan alasan berdasarkan maklumat yang terdapat dalam bahan yang diberi.

Untuk itu, saya telah membuat beberapa langkah pengajaran seperti berikut :

1. Saya telah menyediakan arahan untuk setiap kumpulan.
    Arahan tersebut saya berikan dalam bentuk baju. Ini bagi menarik perhatian murid-murid.

2. Setiap kumpulan diminta berbincang untuk melengkapkan dialog berdasarkan gambar dan maklumat yang terdapat dalam teks yang diberi.

3. Dalam dialog tersebut, murid-murid perlu menulis permintaan dan alasan yang sesuai.

4. Akhir sekali, setiap kumpulan diminta melakonkan semula dialog yang telah dilengkapkan tadi.

Lipatan kertas yang mengandungi arahan  tentang apa yang perlu dilakukan dalam kumpulan.

Arahan untuk setiap kumpulan
Murid-murid berbincang untuk melengkapkan  dialog




Murid-murid menyampaikan pembentang kumpulan dalam bentuk lakonan










Refleksi
:
1. Murid-murid dapat bekerjasama dalam kumpulan untuk melengkapkan dialog dengan menulis permintaan dan alasan yang sesuai.

2. Kemahiran berfikir dalam kalangan murid dapat dipertingkat.

3. Murid-murid begitu kreatif  untuk menjadikan lakonan. mereka lebih menarik.

4. Murid-murid begitu berminat dengan aktiviti yang dijalankan.

5. Pengajaran dan pembelajaran berjalan secara aktif.

Monday, May 8, 2017

KEMAHIRAN MENGAMBIL IMLAK MENGGUNAKAN AKTIVITI ' BACA SEBUT TULIS '

Aktiviti Mengambil Imlak

Sebelum ini , biasanya jika melaksanakan kemahiran mengambil imlak, saya  yang akan membaca  perkataan atau ayat dan murid akan menulis apa yang disebut oleh guru.

Kali ini, saya membuat sedikit perubahan supaya rentak pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menyeronokkan. Saya namakan permainan 'Baca, Sebut, Tulis'

Apa yang saya lakukan?

1. Minta murid bacakan teks  yang diberi  secara kumpulan atau berpasangan.

2.  Saya bahagikan murid mengikut kumpulan. Setiap kumpulan ada 3 orang. Seorang murid jadi pencatat, seorang pembantu pencatat manakala seorang lagi bertindak sebagai pembaca dan penyebut,

3.  Murid-murid diminta mengambil imlak seperenggan ayat yang terdapat dalam petikan.

4. Pembaca akan datang ke hadapan , membaca ayat demi ayat yang terdapat dalam petikan dan menyebut semula ayat tersebut kepada pencatat.

 5. Pencatat akan mencatat setiap ayat yang disebut oleh Pembaca.

6. Aktiviti ini akan berulang sehingga Pencatat selesai mencatat semua ayat yang terdapat dalam perenggan yang dibaca oleh Pembaca.

7. Selesai mencatat, Pembantu akan ke hadapan dan membacakan semula ayat-ayat yang telah dicatat.











Refleksi:

1. Suasana pdp lebh hidup, ceria dan aktif
    - Murid-murid  ( Pembaca) akan berulang alik dari tempat kumpulan masing-masing ke meja guru yang terdapat petikan untuk dibaca.
 
2. Beberapa kemahiran mampu dikuasai serentak iaitu kemahiran membaca, mengingat, menyebut dan menulis apa yang didengar.

3. Suasana pembelajaran menyeronokkan.


Saturday, April 8, 2017

Tindakan dan Alasan - Contoh pengajaran dan pembelajaran Alaf ke-21


Pengajaran pada hari ini berjalan dengan lancar. Murid-murid memberikan tumpuan dengan begitu baik.

Kemahiran yang diajar pada hari ini ialah

2.4.3
Membaca dan memahami maklumat yang tersurat dan tersirat untuk membuat keputusan dengan memberikan alasan



Tema pelajaran adalah berkaitan dengan stres.

Murid-murid membaca cerita dalam teks yang diberi sebelum membuat keputusan.


Bagi memantapkan pemahaman murid berkenaan tajuk  saya banyak  bersoal jawab dengan murid. Sebelum memulakan pdp, saya terlebih dahulu telah menyenaraikan soalan-soalan yang akan saya ajurkan kepada murid.

Terdapat juga soalan-soalan spontan yang saya utarakan kepada murid  yang bersesuaian dengan topik . Kebanyakan soalan-soalan tersebut  adalah soalan yang menjurus kepada soalan aras KBAT. Saya mahu melatih berfikir dan menjawab soalan yang memerlukan mereka berfikir.

Saya kemudiannya telah  bahagikan murid-murid kepada empat kumpulan.
Saya utarakan persoalan kepada murid-murid iaitu :
Pertama :Jika kamu menghadapi masalah, kamu stres, kepada siapakah akan kamu rujuk?
Kedua : Mengapa kamu memilih nya?"

Murid berbincang dalam kumpulan masing-masing.
Semasa sesi perbincangan, murid-murid diminta  menggunakan bahasa yang betul dan bertatasusila.

Semasa sesi perbincangan, saya lihat ada kesepakatan dalam kumpulan.  Mereka  saling memberikan pendapat , salah seorang murid  menjadi pencatat yang menulis pandangan kumpulan mereka pada kertas berwarna yang telah diberi.

Selepas itu, wakil dari setiap kumpulan  menampalkan kertas catatan pada gambar-gambar yang tertentu.
Dari itu, saya dapat melihat ada pelbagai pandangan berkenaan dengan siapa yang perlu mereka rujuk apabila berlaku stres.  Murid-murid juga  dapat menyatakan mengapa mereka memilihnya.

Wakil setiap kumpulan seterusnya membacakan pandangan kumpulan masing-masing. Walau pun ada yang memilih orang yang sama, namun saya dapati terdapat perbezaan sebab mengapa mereka memilih.

Refleksi yang saya buat:

1.  Aktiviti ini begitu menarik minat murid.
2.  Murid-murid dapat melibatkan diri secara aktif dalam setiap aktiviti terutama semasa perbincangan dalam kumpulan.
3. Murid-murid semakin berkeyakinan dalam memberikan pandangan atau pendapat.
4.  Objektif pdp dapat dicapai.

Sebagai aktiviti tambahan, saya meminta murid melaksanakan aktiviti ini secara individu.
Tujuan nya, untuk memberi lebih ruang, lebih banyak pendapat dapat dizahirkan.
Saya minta murid-murid menulis dan menampalkan pendapat masing-masing pada gambar-gambar yang dipilih. Murid-murid boleh melakukan aktiviti ini pada bila-bila masa yang sesuai.







Monday, January 16, 2017

Respons oh respons.

Hari ni, masuk ke kelas Tahun 6B, kelas ke 2. Bilangan murid tidak lah ramai, 16 orang sahaja.

Walau bagaimana pun, agak sukar untuk mengajar mereka. Pertama nya kerana murid tidak memberi tumpuan semasa pengajaran sedang berlangsung. Saya tidak menyalahkan murid 100% apabila mereka tidak memberi tumpuan.

Justeru, saya membuat penilaian kendiri. Menilai kekurangan yang mungkin berpunca daripada saya sendiri. Antaranya :

1. mungkin pengajaran saya kurang menarik minat murid.
2. mungkin cara bercakap saya agak laju dan murid tidak dapat menangkap apa yang saya perkatakan.
3. mungkin murid takut dan tidak yakin untuk memberikan respons yang diminta.

Murid-murid kelas ini kebanyakannya lemah. Agaknya mereka lambat memahami apa yang saya sampaikan semasa pengajaran.
Mungkin saya perlu perlahankan lagi ' gear'. Walau pun berada di Tahun Enam, murid-murid ini sukar untuk menjawab soalan dengan betul, apatah lagi untuk melontarkan pendapat sendiri apabila disoal.

Hari ini, saya mengajar murid menulis respons yang betul dan sesuatu berdasarkan ayat perintah. Murid-murid lambat dan agak terpinga-pinga untuk memberi respons yang diminta.

Ada antaranya memberi respons yang pendek dan tidak lengkap.
Saya memberikan latihan menulis respon kepada murid. Tidak banyak, cuma 3 ayat sahaja. Saya kecewa bila membaca ayat-ayat yang ditulis oleh mereka.Macam-macam ayat pelik yang saya jumpa!

Bermaksud, murid-murid tidak mencapai objektif pembelajaran pada hari ini.

Berdasarkan refleksi yang dibuat, saya akan mencari jalan dan mencuba pendekatan yang lain supaya murid-murid akan dapat mencapai objektif iaitu dapat memberikan respons dengan betul dan sesuai.

Sunday, October 23, 2016

Merancang yang terbaik tetapi...

Saya merupakan guru Bahasa Melayu Tahun Lima dan Tahun Enam.
Murid-murid Tahun Lima, sebelum ini, saya tidak pernah mengajar mereka. Semasa mula-mula mengajar BM Tahun Lima pada bulan Januari, saya dapati kebanyakan murid sangat lemah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Hanya seramai 6 orang murid sahaja yang saya lihat mampu menguasai kemahiran yang diajar dengan baik.

Selepas Peperiksaan Penggal Satu dulu, saya telah membuat analisis pencapaian. Daripada analisis tersebut, saya telah merangka plan intervensi bagi membantu murid-murid Tahun Lima yang lemah ini untuk memperbaiki pencapaian mereka.

Bagaimanapun, pelan intervensi tersebut tidak dapat saya laksanakan kerana perubahan jadual waktu mengajar. Saya tidak dapat mengajar murid-murid Tahun Lima kerana diminta mengajar ketuga-tiga kelas Tahun Enam. Saya hanya mengajar murid-murid Tahun Lima ini sehingga bulan Jun sahaja. Justeru, pelan intervensi tidak dapat saya laksanakan. Guru ganti yang mengajar Tahun Lima tidak menggunakan pelan intervensi untuk mengajar murid-murid Tahun Lima.

Selepas UPSR iaitu pada bulan Oktober, saya diminta sekali lagi mengajar semula Tahun Lima. Saya terima sebagai cabaran .Tidak sampai sebulan, murid-murid akan menduduki Peperiksaan akhir tahun pula. 
Murid-murid masih lemah dalam semua bahagian Kertas Penulisan. Kemahiran menulis ulasan pun masih tonggang-langgang. Begitu juga dalam Kertas Pemahaman. Kebanyakan murid masih tidak menguasai kemahiran membina ayat secara meluas dan secara gramatis.

Justeru, saya telah melaksanakan Pelan Intervensi yang saya rangka sebelum ini. Walau pun saya tahu perancangan ini tidak dapat dijalankan sepenuh nya kerana hanya dapat dijalankan untuk jangka masa yang singkat, bererti saya hanya dapat melaksanakan sebahagian kecil sahaja pelan intervensi tersebut.




Monday, October 17, 2016

KBAT


Sebagai seorang guru yang mengajar Bahasa Melayu di Tahun 5 , saya telah mencuba mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari semasa berkursus dalam pengajaran dan pembelajaran di kelas.
Antara nya, saya telah menyediakan pengajaran berpusatkan murid, menggunakan kaedah  koperatif dan kontekstual .Dalam pengajaran pembelajaran ini juga, saya telah menerapkan unsur KBAT 

KBAT melibatkan kemahiran intelek yang tinggi. Kemahiran ini kebiasaan melibatkan merujuk kepada empat aras teratas dalam Taksonomi Bloom iaitu mengaplikasi, menganalisa, menilai dan mencipta.

KBAT ini juga mempunyai kelebihan lain iaitu dapat meningkatkan lagi keupayaan dan kebolehan sedia ada pada murid. Mereka akan dapat mengawal, memandu dan mengukur pembelajaran yang telah mereka kuasai. Kebolehan ini akan menjadikan mereka lebih produktif dan berdaya saing. Seterusnya sudah tentu dapat meningkatkan kefahaman dan memperkukuh pembelajaran dalam apa sahaja perkara yang mereka pelajari nanti.
-           
Bagi menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan murid maka peranan guru sangat signifikan. Usaha ke arah itu perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh. Sebenarnya kemahiran berfikir ini bukanlah asing kepada guru kerana mereka telah didedahkan tentang konsep dan kaedah kemahiran ini semasa mengikuti latihan perguruan di maktab atau universiti suatu ketika dahulu. Walau apa pun guru perlu terus ditingkatkan keupayaan kemahiran berfikir mereka supaya dapat memberikan yang terbaik kepada murid dalam pengajaran mereka.

            Antara cara berkesan yang boleh dilakukan untuk menerapkan KBAT dalam PdP ialah dengan mengemukakan soalan-soalan yang berunsurkan KBAT semasa proses PdP dijalankan. Soalan dikemukakan adalah soalan yang membolehkan murid untuk mengaplikasi, menganalisa, mensintesis dan menilai suatu maklumat daripada sekadar menyatakan semula fakta atau hanya mengingati fakta yang telah dipelajari.

Justeru, saya telah merangka  rancangan pengajaran dan pembelajaran yang mempunyai unsur-unsur ini.Berikut adalah contoh rancangan pengajaran dan pembelajaran yang telah saya laksanakan.



HARI      :  RABU                       TARIKH : 19/4/2016
Mata Pelajaran / Kelas
Bahasa Malaysia / 6 Maha Barathy
Tema/Tajuk
Hormati Komuniti / Memupuk Perpaduan
Masa
10.15  - 11.15
Standard Pembelajaran
3.3.3  Membina dan menulis jawpan secara kritis dan kreatif dengan betul

Objektif Pembelajaran
Pada akhir pengajaran dan pembelajaran, murid dapat:
1. membina dan menulis jawapan secara kritis dan kreatif dengan betul berdasarkan teks yang dibaca.

Aktiviti
1,  Murid-murid dan guru bersoal jawab mengenai tajuk pelajaran pada hari ini.
2.  Murid membaca petikan bagi memahami cerita yang terkandung dalam petikan untuk mendapatkan maklumat.
3.   Beberapa orang murid diminta membina dan menulis jawapan pada papan putih berdasarkan soalan pemahaman yang diberi.
4.   Dalam kumpulan, murid-murid berbincang dan menulis jawapan berdasarkan soalan yang diberi dalam kertas sebak.
5.  Wakil kumpulan membentangkan hasil perbincangan kumpulan masing-masing.
6.  Murid dan guru berbincang dan memurnikan jawapan.
7.  Murid menulis jawapan pada lembaran kerja yang diedarkan secara individu.
8.  Murid dibimbing membuat rumusan mengenai tajuk yang dipelajari pada hari ini.
Pengisian Kurikulum
Ilmu :   Pendidikan Moral, TMK
Nilai :  Bertindak bijak
KB   :  Menganalisis, menjana idea
EMK : Kreativiti dan Inovasi
Celik Kewangan :  Mewujudkan strategi bagi perlindungan identiti
Bahan Bantu Belajar
Teks , gambar, kad ayat

Penilaian Pengajaran dan Pembelajaran


Refleksi



 

 Sebelum melaksanakan pengajaran di dalam kelas, saya telah menyenaraikan soalan-soalan yang akan saya ajukan kepada murid-murid. Kebanyakan soalan yang saya sediakan adalah soalan KBAT. Hal ini demikian supaya saya dapat menggunakan seberapa banyak soalan KBAT semasa pengajaran pembelajaran. Persediaan ini perlu bagi saya  agar saya dapat menerapkan unsur-unsur KBAT ini dengan berkesan.

Persediaan ini nyata amat membantu saya melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan dan lancar.